PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Mohammed Khairuzzaman ditahan oleh pihak berkuasa negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, lelaki itu ditahan mengikut prosedur perundangan sedia ada.
“Saya sedia maklum mengenai tangkapan itu. Segala apa berlaku adalah mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kita akan tangkap.
“Jika ada permintaan dari negara asal yang kita rasa kebenarannya, kita akan lakukan (tangkapan) dan segalanya dilakukan mengikut prosedur,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Ditanya sama ada suspek akan di bawa ke negara asal, Hamzah berkata, beliau menjelaskan tiada maklumat mengenai perkara itu.
Sebelum ini, agensi media antarabangsa melaporkan, Mohammed Khairuzzaman ditahan kerana didakwa tinggal di negara ini sebagai pelarian.
Beliau ditahan di rumahnya di sekitar Ampang semalam dan dijangka akan dihantar ke Bangladesh.- K! ONLINE