fbpx

Isu kuarantin menteri, Fahmi Reza didakwa buat hantaran jelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi Reza ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara melalui aplikasi Twitter tahun lalu.

Bagaimanapun Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Fahmi Reza didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil  “Fahmi Reza atau”@kuasasiswa” pukul 3.02 petang pada 10 Februari 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya pukul 4 petang pada 11 Februari 2021.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili OKS memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“OKS juga tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Sabariah membenarkan OKS diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 30 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI