fbpx

Industri ternakan ayam dijangka rugi RM200 juta sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Industri ternakan ayam diramal mengalami kerugian kira-kira RM200 juta sebulan tidak lama lagi disebabkan pelaksanaan kawalan harga ayam.

Bekas Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, keadaan itu akan menyebabkan ramai penternak gulung tikar atau mengurangkan jumlah ternakan agar dapat te­rus bertahan.

“Penternak sudah tiada modal pusingan untuk membawa ma­suk anak ayam ke ladang.

“Kos ternakan ayam dianggarkan RM6.50 sekilogram, tetapi kami diminta menjual pada harga RM5.60 sekilogram. Jika penternak diminta berniaga untuk rugi bermakna mereka diminta supaya gulung tikar.

“Penternak akan mengalami kerugian RM1 (sekilogram), jadi mereka tidak boleh buat pusing modal. Jika berlaku kekurangan bekalan, jangan salahkan pihak penternak kerana tiada siapa mahu berniaga untuk rugi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jeffrey meletakkan jawatan selaku Penasihat FLFAM pada Isnin lalu kerana kecewa dengan krisis yang berlaku selain menjadi mangsa kemarahan penternak yang mengalami kerugian.

Mengulas lanjut, Jeffrey memberitahu, semasa musim perayaan Deepavali pada November lalu, penternak dibenarkan menjual ayam pada harga RM6.30 sekilogram, namun ketika itu harga dedak masih belum meningkat tinggi.

Jeffrey tidak dapat memberi jawapan sama ada akan berlaku krisis bekalan ayam dalam tempoh terdekat kerana perkara itu tertakluk kepada kerajaan yang membenarkan pengimportan bahan mentah itu sebelum ini.

Tambah Jeffrey, terdapat kira-kira 3,000 penternak ayam di seluruh negara yang mengeluarkan lebih dua juta ekor ayam dan lebih 30 juta telur dalam masa sehari sebelum ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan gara-gara harga dedak naik mendadak, beberapa pengusaha ayam segar di Johor terpaksa mengurangkan jumlah ayam yang dipelihara di ladang bagi mengurangkan kos operasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI