PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah yang dijangka mengalami cuaca buruk sehingga pukul 4 petang hari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak serta Sabak Berman, Selangor.
Selain itu, di Negeri Sembilan keadaan yang sama turut melibatkan kawasan Port Dickson dan Rembau, manakala di Melaka, hujan lebat bakal berlaku di keseluruhan negeri itu awal petang nanti.
“Bagi negeri Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Sibu dan Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah) serta beberapa kawasan di Sabah.
“Ia termasuklah sekitar Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat (Kota Marudu),” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE