fbpx

Fokus pembaharuan undang-undang buruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyeru kerajaan supaya menumpukan perhatian kepada pembaharuan undang-undang buruh dan produktiviti, berbanding memperkenalkan gaji minimum baharu.

Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, ketika pihak persatuan tidak menentang sebarang kenaikan munasabah dalam gaji minimum, kenaikan tersebut perlu selaras dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan produktiviti buruh.

Jelas beliau, pembaharuan undang-undang buruh penting supaya selari dengan perkembangan ekonomi gig dan ekonomi pasca pendemik.

“Seeloknya, kita perlu mengaitkan gaji dengan produktiviti supaya golongan pekerja dapat menikmati kemakmuran bersama apabila ekonomi negara bertambah baik. 

“Sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti, atau PLWS yang dipromosikan oleh Kementerian Sumber Manusia sendiri mendapat banyak minat dari kalangan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun undang-undang buruh, termasuk Akta Kerja 1955 masih berasaskan masa. 

“Ini bermakna sebarang perlaksaan PLWS perlu mengambil kira gaji bulanan yang berasaskan masa, bukannya sekadar berdasarkan produktiviti yang selari dengan perkembangan ekonomi gig dan ekonomi pasca-pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan sebelum ini memberi kenyataan bahawa kadar baharu gaji minimum akan dinaikkan kepada sekitar RM1,500 menjelang akhir tahun ini.

Menurut William, sistem gaji yang dikaitkan dengan produktiviti, bukannya gaji mínimum merupakan cara terbaik untuk memastikan perniagaan terutamanya PKS dapat mengharungi cabaran ekonomi dan pada masa sama, berkongsi kemakmuran ekonomi dengan golongan pekerja.

“Di negara seperti Australia, adalah perkara biasa bagi pekerja dibayar berdasarkan pengeluaran. 

“Pembersih bilik di hotel misalnya, dibayar mengikut bilangan bilik yang dibersihkan setiap hari dan bukannya berapa jam yang dikerjakan.

“Model gaji berdasarkan pengeluaran ini juga telah berjaya dilaksanakan dalam industri e-hailing tempatan, yang mana pemandu dibayar untuk setiap hantaran bukannya sekadar mengikut jumlah waktu bekerja,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI