fbpx

Eileen tepati status permata salji China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EILEEN berjaya menyumbangkan pingat emas dalam acara papan luncur gaya bebas wanita akhir pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 kelmarin. – AFP

BEIJING – Atlet luncur salji sensasi China, Eileen Gu mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya menyumbangkan pingat emas acara papan luncur gaya bebas buat negaranya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 kelmarin.

Pada pusingan akhir kelmarin, Eileen yang baru berusia 18 tahun tidak mempunyai masalah mendominasi saingan dengan mengutip 188.25 mata keseluruhan untuk menewaskan pencabar terdekat, Tess Ledeux dari Perancis dan Mathilde Gremaud (Switzerland).

Kata Eileen, kejayaan meraih pingat emas adalah detik terbaik dalam hidupnya dan diharapkan keputusan itu dapat memberi kegembiraan buat semua pihak yang menyokong kariernya sebagai atlet profesional.

“Ini adalah saat bersejarah dalam karier dan saya tidak percaya sudah menyumbangkan pingat emas buat China. Tiada apa lagi yang boleh dibanggakan selain daripada kejayaan beraksi cemerlang di pentas Olimpik.

“Apa yang pasti, saya harap semua pihak sedar kerana sasaran saya adalah menyatukan dua negara menjadi satu dan bukan sebagai punca memecah-belahkan mana-mana pihak,” kata atlet yang dilahirkan di California, Amerika Syarikat (AS) itu.

Sementara itu, kerajaan China turut mengucapkan tahniah buat Eileen atas sumbangan dan komitmen yang diberikan sepanjang penyertaannya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk kali ini.

Sebagai rekod, Eileen yang digelar sebagai ‘ratu salji’ dalam kalangan peminat tempatan telah dikritik hebat sebelum ini kerana masih memiliki kerakyatan AS meskipun menyatakan komitmen untuk mewakili China di peringkat antarabangsa sejak umur 15 tahun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI