PETALING JAYA – Pengambilan suntikan dos penggalak (booster) merupakan langkah terbaik yang disarankan pakar kesihatan untuk meningkatkan antibodi seseorang individu serta usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Namun, masih ramai yang meragui keberkesanan serta takut mengambil suntikan dos penggalak kerana bimbang akan kesan sampingannya.
Menerusi perkongsian seorang pakar kesihatan, Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri di media sosial, memaklumkan terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa perit di kawasan suntikan.
Jelasnya, amat penting untuk individu memilih tangan yang selesa dan pastikan jangan keraskan lengan sekiranya vaksin sedang dimasukkan.
Menurut rakaman yang dimuat naik itu, Syid menyarankan agar individu yang baru selesai menerima suntikan dos penggalak boleh tuamkan bekas suntikan dengan ais bagi mengelakkan keradangan.
“Vaksin dicucuk secara ‘intramuscular’ iaitu individu tersebut akan disuntik masuk sampai ke dalam otot.
“Vaksin mencetuskan tindak balas imun yang menyebabkan keradangan atau rasa sakit dan anda boleh tuam dengan ais selepas cucuk untuk kurang rasa sakit,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan agar kerap menggerakkan tangan yang disuntik atau melakukan senaman ringan terutamanya pada hari pertama dan kedua bagi membantu mempercepatkan proses sembuh.
Katanya lagi, orang ramai disarankan untuk tidak mengambil sebarang ubat secara terus dalam tempoh 24 jam selepas menerima suntikan.
“Tujuannya bagi membantu tubuh badan menghasilkan antibodi secara maksima selepas cucuk,” ujarnya.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi dari pengguna yang lain.
“Alhamdulillah, saya gunakan tips yang doktor kongsikan, memang menjadi, tiada kesan sampingan pada saya selepas cucuk booster,” kata @Mama Roro.
“Terima kasih doktor bagi tips, tapi saya dah termakan penadol lepas cucuk sebelum ini, lepas ini dah tahu la kaedah yang betul elak sakit,” ujar @min_say.
“Betul doktor, saya tuam dengan ais tempat cucuk, dan kurang rasa sakit, benjol pun cepat susut,” luah Ungku Zarith. – K! ONLINE