PUTRAJAYA – Jangkitan baharu Covid-19 negara melonjak kepada 19,090 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,975,422 kes.
Berdasarkan perbandingan, sebanyak 17,134 kes jangkitan virus itu dilaporkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 113 kes atau 0.59 peratus terdiri daripada mereka yang berada dalam kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya iaitu sebanyak 18,977 kes atau 99.41 peratus pula berada dalam kategori satu dan dua,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.
Mengikut pecahan, sebanyak 4,898 kes (25.66 peratus) berada dalam kategori satu, kategori dua sebanyak 14,079 kes (73.75 peratus), kategori tiga sebanyak 79 kes (0.41 peratus), kategori empat sebanyak 28 kes (0.15 peratus) dan kategori lima sebanyak enam kes (0.03 peratus). -K!ONLINE