fbpx

Aruwin dijangka ‘meletup’ 4 tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUWIN gagal menamatkan saingan Run 1 selepas terjatuh ketika pertandingan acara slalom wanita di Pusat Ski Alpine Kebangsaan Yanging, Beijing semalam. – AFP

KETUA kontinjen negara pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Moira Tan Siew See percaya atlet ski alpine, Aruwin Salehhuddin memiliki masa depan cukup cerah selepas menampilkan aksi membanggakan dalam temasya kali ini.

Meskipun gagal menamatkan saingan dalam acara slalom wanita yang berlangsung di Pusat Ski Alpine Kebangsaan Yanging semalam selepas terjatuh pada Run 1, namun aksinya wajar mendapat pujian.

Justeru, Moira tanpa berselindung mengakui gembira dengan prestasi yang ditampilkan atlet berusia 18 tahun itu dalam dua acara yang disertai iaitu slalom serta giant slalom wanita pada edisi kali ini.

“Tidak kira apa yang berlaku, Aruwin sudah membuatkan kita bangga selepas menggalas tugas negara pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022. Terima kasih kerana sudah menampilkan aksi terbaik dalam acara slalom dan giant slalom.

“Kami yakin Aruwin akan te­rus bekerja keras serta gigih bagi memastikan dia kembali menampilkan aksi lebih baik pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026,” katanya yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pingat emas acara slalom itu menjadi milik atlet Slovakia, Petra Vlhova selepas melakukan catatan masa keseluruhan 1:44.98 saat (s), manakala perak dimenangi atlet Austria, Katharina Liensberger (1:45.06s) diikuti atlet Switzerland, Wendy Holdener (1:45.17s).

Sebagai rekod, Aruwin yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat (AS) menampilkan aksi memberangsangkan menerusi acara giant slalom wanita Isnin lalu selepas menamatkan saingan di tempat ke-38.

Penyertaan Aruwin dalam edisi kali ini turut menyaksikan dia menjadi atlet wanita pertama negara beraksi pada Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas Malaysia mula menyertai temasya tersebut di Pyeongchang, Korea Selatan empat tahun lalu.

Selain Aruwin, seorang lagi atlet negara, Jeffrey Webb akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara slalom lelaki yang turut dijadualkan berlangsung di Pusat Ski Alpine Kebangsaan Yanging pada 16 Februari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI