JASIN – Lebih 80,000 kanak-kanak di negeri ini masih belum mendaftar untuk pemberian vaksin Covid-19, dipercayai disebabkan sikap ‘tunggu dan lihat’ ibu bapa yang bimbang dengan kesan suntikan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini hanya 15,000 kanak-kanak telah mendaftar untuk pemberian vaksin melalui MySejahtera, sejak awal Januari lalu.
Katanya, angka itu dilihat terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan 98,600 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
“Setakat ini angka kanak-kanak yang telah didaftar untuk menerima vaksin hanya 15,000 dan angka ini memang jauh daripada jumlah keseluruhan.
“Ibu bapa ini saya yakin mereka tidak menolak vaksin, tapi mungkin mereka ini takut dan memilih untuk ‘tunggu dan lihat’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato Haji Ahmad Ithnin, Merlimau, di sini, hari ini. – K! ONLINE.