JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan dadah menggunakan khidmat syarikat penghantaran dalam satu operasi khas di Jalan Tebrau dan sekitar bandar raya ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi bermula pada pukul 3 petang itu, lima lelaki tempatan dan dua perempuan warga asing berjaya ditahan masing-masing berusia 22 hingga 56 tahun.
Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 17.70 kilogram (kg) dadah jenis magic mushroom bernilai RM885,100 serta 3.02 kg serbuk ekstasi bernilai RM151,050 dirampas.
Nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM1.04 juta.
“Modus operandi sindiket ini adalah menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Hasil siasatan awal pihak kita mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak November tahun lalu dan bekalan ini disyaki dari negara luar,”katanya.-K! ONLINE