KUALA LUMPUR – Tiga doktor antara 25 individu ditahan berhubung sembilan kes penipuan jual sijil vaksin palsu yang dikesan sepanjang bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya turut memberkas tiga jururawat, tujuh ejen, seorang pembantu klinik dan 11 orang awam.
“Kebanyakan siasatan kes tersebut sudah hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Jelasnya, pihaknya turut mengesan kes baharu berhubung penjualan sijil vaksin palsu yang berlaku di Kinarut, Sabah sekitar minggu lalu.
“Kita menerima laporan daripada seorang staf klinik yang melaporkan seorang doktor melakukan aktiviti penjualan sijil vaksin palsu pada Jumaat lepas.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang suspek yang juga doktor berusia 37 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Februari lalu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kamarudin turut memaklumkan PDRM mengesan modus operandi baharu melibatkan penipuan penjualan kit ujian Covid-19 sehingga menyebabkan kerugian RM710,000 di Selangor.
“Kita menerima dua laporan kes melibatkan dua mangsa yang juga ahli perniagaan melakukan urusan jual beli dengan sebuah syarikat mendakwa menjalankan pembelian kit ujian Covid-19 daripada syarikat pengeluar di China pada Januari lalu.
“Salah seorang mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM600,000 bagi 100,000 kit ujian termasuk kos penghantaran namun gagal diterima,” katanya.
Tambah Mohd. Kamarudin, mangsa telah membuat semakan terus dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima pihak pengeluar selepas pembayaran dibuat.
“Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka berhubung penipuan penjualan kit itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE