fbpx

Zizan tunggu jodoh, kalau ada, adalah…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZAN RAZAK

SEPANJANG 15 tahun bergelar seorang anak seni, Zizan Razak pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti popular wanita tanah air. Bukan bermaksud untuk mengungkit kisah cinta lama yang tidak kesampaian, namun catatan kali ini sekadar sebuah kenyataan, betapa Zizan juga seorang lelaki bujang yang tetap setia menanti jodoh.

Biarpun fasa penting dalam kehidupan ‘lelaki’nya belum berkunjung, jauh lagi ‘dikuncikan’ dengan satu ikatan yang sah, Zizan atau nama lengkapnya, Muhd. Razizan Abd. Razak tidak mengalah.

Kepercayaannya tentang perihal jodoh tetap utuh. Apa pun yang terjadi dalam hidup, dia tidak sesekali kecewa memikirkan diri lambat bertemu jodoh.

MASIH setia menanti jodoh, Zizan sebenarnya tidak mahu pusing apabila sering ditanya soal tentang sasaran untuk mendirikan rumah tangga.

Tumpang bahagia

Menghampiri usia 40 tahun, lelaki yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa jelitawan popular seperti Emma Maembong, Che’ Puan Juliana Evans dan Mira Filzah, menumbang bahagia apabila wanita-wanita itu sudah menjadi milik lelaki lain menerusi ikatan perkahwinan.

“Saya tengok mereka yang pernah dikaitkan dengan saya bahagia dengan kehidupan masing-masing, saya pun turut tumpang berasa bahagia buat mereka.

“Tidaklah saya nak berasa tertekan semata-mata jodoh belum sampai.

“Kerjaya saya, baik dalam bidang seni dan perniagaan masih berjalan lancar. Di situ saya lepaskan tekanan isi masa lapang,” kata Zizan yang mula dikenali dalam dunia seni tanah air selepas bergelar naib juara Raja Lawak musim pertama.

Zizan yang ditemui HibGlam pada majlis prapelancaran telefilem Rompak memaklumkan, kalau mengikut rencana hidup, sepatutnya zaman bujangnya sudah lama ditamatkan ketika berusia 25 tahun.

“Saya punya rancangan sebenarnya nak kahwin pada usia 25 tahun,” kata pelakon filem Abang Long Fadil itu yang percaya segala apa yang berlaku dalam kehidupan manusia adalah ketentuan Ilahi.

Jelasnya, manusia boleh merancang, namun Allah SWT yang menentukan segala-galanya termasuk perihal berkaitan jodoh. Barangkali kedengaran klise, namun itulah realiti yang perlu diterima semua orang, termasuk dirinya.

“Ada juga niat nak berkahwin sebelum ini tapi tak menjadi dan saya anggap itu semua adalah kerja Allah. Allah tak izinkan, saya tak boleh marah. Takkan saya nak marah

Allah, takkan saya nak lawan takdir dan mengamuk.
“Jadi, saya berjalan dengan apa yang ada di depan mata. Saya ada kerjaya, rezeki, saya punya restoran, bermacam-macam perniagaan dan sebagainya,” ujarnya.

ZIZAN menafikan perjumpaannya dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini adalah bersifat politik.

Tertekan

Tidak menolak siapa pun jodohnya kelak, orang seni atau tidak, Zizan memberitahu, jika memang tiada jodoh buatnya di dunia, tiada sebab dia perlu berasa tertekan.

“Alhamdulillah, saya okey. Ada juga masa fikir kalau tiada jodoh nak buat macam mana. Kalau ada jodoh, kita jalan.

“Saya serahkan, kalau ibu kata okey dan kemudian saya juga rasa begitu, ujian ‘Puspakom dan JPJ’ lulus, kita kahwin,” katanya berseloroh seraya mengatakan keluarganya sangat memahami dirinya.

Masih berstatus bujang dan solo biarpun usia semakin menghampiri ‘four series’, Zizan mengakui disebabkan perihal tersebut dan kisah cinta terbengkalai di tengah jalan, dia dilabel kaki perempuan.

“Ada juga cakap ‘kau ni memilih sangat’. Siapa cakap begitu, dia macam lebih tahu daripada saya.

“Lepas itu, cakap saya kaki perempuan dan sebagainya, tapi saya senyum sahaja sebab banyak lagi benda saya perlu bersyukur.

“Keluarga saya macam relaks. Kalau ada, ada. Kalau tiada, sudah. Saya pun macam selesa atas katil seorang-seorang,” tuturnya.

Melancarkan bicara, Zizan turut mengulas tentang kebarangkalian melibatkan diri dalam dunia politik sebagaimana prioriti kerjaya seni yang turut berubah selari dengan tanggungjawab sebagai orang popular.

DITANYA sama ada mempunyai hasrat untuk mengepalai mana-mana persatuan seni tanah air, Zizan bertegas langsung tidak berminat atau berniat ke arah tersebut. – ARKIB MEDIA MULIA

Tiada niat berpolitik

Menjadi figura dikenali ramai, Zizan tidak menafikan dia terhutang budi dengan orang ramai yang menjadikan lubuk rezeki sentiasa wangi dan deras dengan dokongan tidak berbelah bahagi sedari awal kemunculan.

“Buat masa ini, saya tak pernah terfikir ke arah tersebut (politik). Bukan saya kata politik tak bagus tapi mungkin saya ada matlamat dan cara saya sendiri.

“Kawan-kawan saya macam Datuk Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki, mereka mempunyai minat dan apa yang ingin diperjuangkan.

“Bagi saya, tak salah (anak seni masuk dunia politik). Golongan artis ada kekuatan tersendiri. Kita diangkat lebih daripada orang lain dari segi populariti,” katanya.
Zizan menghormati keputusan rakan artis masuk politik, namun tidak pernah terlintas untuk meluruskan hasrat ke arah sama.

Sebagai anak seni, dia sedar diri dan lebih selesa berkongsi inspirasi selain berbentuk politik dan menyalurkan bantuan mengikut kemampuan sendiri.

“Saya suka tunjukkan hal bisnes, suka kongsi benda-benda yang saya rasa perlu saya kongsi macam ilmu agama dan sebagainya ataupun yang berkaitan tentang kerjaya sebagai anak seni.

“Kawan-kawan lain memilih ke arah politik, mungkin mereka mempunyai matlamat dan misi sendiri. Saya rasa itu hak masing-masing sebab negara kita sebuah negara demokrasi,” katanya menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI