PONTIAN – UMNO akur dengan keputusan Suruhananjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penetapan tarikh tersebut tentunya mengambilnya kira beberapa perkara penting termasuk hari penamaan calon, tempoh kempen dan mengundi awal.
Katanya, selepas pengumuman oleh SPR ini, tentunya semua parti-parti bertanding menantikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PRN Johor oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“ Setelah menanti hampir dua minggu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Johor pada 22 Januari lalu, hari ini SPR telah mengumumkan tarikh-tarikh bagi membolehkan PRN Johor dilaksanakan.
“Namun tumpuan selepas ini akan ke arah kepada KKM dan MKN yang akan menentukan SOP PRN Johor samada sama seperti di PRN Melaka dan Serawak atau sebaliknya,” katanya Ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam sidang akhbar di Johor Bahru hari ini, SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu. – K! ONLINE.