KUALA TERENGGANU – Padah menceroboh hutan simpan untuk mencuri kayu gaharu pada bulan lalu, tiga lelaki warga Kemboja dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Noeun Sokhen, 52, atas dua kesalahan menceroboh hutan simpan dan memiliki kayu gaharu secara tidak sah.
Beliau juga memerintahkan dua lagi tertuduh iaitu Seoung Sopheap, 52, dan Seur Phakdey, 47, pula dipenjara lapan bulan atas kesalahan menceroboh hutan simpan.
Terdahulu ketiga-tiga membuat pengakuan bersalah sebaik kertas pertuduhan masing-masing selesai dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dalam bahasa Khmer.
Berdasarkan pertuduhan pertama terhadap Sokhen, dia didakwa memiliki hasil hutan berupa kayu gaharu secara salah di Kompartmen 492, Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada pukul 6.30 petang, 11 Januari lalu.
Tertuduh pertama itu didakwa mengikut Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sokhen, Sopheap dan Phakdey juga menghadapi pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada tarikh dan masa sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 47 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan. – K! ONLINE