PETALING JAYA – Penerima vaksin Sinovac yang masih ragu-ragu untuk mengambil suntikan dos penggalak kini serba salah selepas kerajaan memutuskan sijil vaksinasi mereka akan bertukar putih jika tidak mendapat dos ketiga itu sebelum 1 Mac ini.
Kebanyakan mereka sebelum ini bimbang dan takut dengan kesan sampingan daripada pengambilan suntikan dos penggalak itu terhadap kesihatan.
Bagaimanapun, sebahagian mereka kini akur dengan ketetapan baharu kerajaan itu.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, biarpun berat hati, seorang kakitangan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Iza, 41, akur untuk menerima dos penggalak.
Katanya, kebimbangan terhadap kesan sampingan dos penggalak jenis Pfizer menjadi punca dia melengahkan pengambilan suntikan sebelum ini.
“Saya bukannya antivaksin, malah sebelum ini saya secara sukarela melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 seawal April tahun lalu lagi.
“Begitupun, pengalaman beberapa kenalan yang menerima Sinovac sebelum ini, mereka mengalami kesan sampingan setelah mengambil dos penggalak daripada jenis Pfizer” katanya kepada Kosmo! semalam.
Iza mendakwa, dia seboleh-bolehnya mahu mendapatkan dos penggalak daripada jenis Sinovac yang sukar didapati di Terengganu.
“Begitupun, jika dos penggalak Sinovac masih belum ditawarkan sehingga hujung bulan ini, saya terpaksa akur untuk mengambil Pfizer,” ujarnya.
Di Temerloh, Pahang, seorang penerima dua dos suntikan vaksin Sinovac, Salehudin Mat Rasad, 62, berkata, dia kini mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan untuk mengambil suntikan ketiga itu.
“Saya sebenarnya serba salah kerana keadaan kesihatan tidak berapa baik dan saya juga masih mengalami kesan jangka panjang akibat dijangkiti Covid-19 apabila tidak boleh terlalu aktif kerana cepat penat,” katanya.
Lee Pui Chan, 41, pula berkata, dalam usaha memenuhi keperluan semasa khususnya untuk bekerja, dia akan mengambil dos penggalak daripada jenis yang sama iaitu Sinovac.
“Saya ada memaklumkan kepada pusat pemberian vaksin di Bentong yang saya tidak mahu dos penggalak jenis Pfizer kerana tidak mahu bercampur vaksin dan mereka menyatakan akan memaklumkan apabila terdapat stok vaksin berkenaan,” ujarnya.
Di George Town, Pulau Pinang, penerima vaksin Sinovac yang mahu dikenali sebagai, Nurharasha, 42, berkata, dia akan mendapatkan dos penggalak sebelum Mac ini kerana telah terlepas menghadiri janji temu.
“Ketika menerima janji temu, saya sedang bercuti panjang berikutan ada masalah kesihatan yang turut menjejaskan pergerakan.
“Saya akan cuba mendapatkan dos itu dalam tempoh seperti yang disyaratkan oleh menteri.
“Mula-mula risau juga kesan sampingannya, sebab saya sendiri ada masalah kesihatan, tetapi insya-Allah akan ambil untuk perlindungan diri dan kembali bekerja,” kata pekerja swasta itu.
Sementara itu, warga emas, Haminah Hussin, 61, berkata, dia akan mempertimbangkan untuk mendapatkan dos penggalak selepas ini.
“Saya memang takut mengambil dos penggalak selepas dimomokkan oleh banyak pihak tentang kesan sampingannya,” katanya.
Di Alor Setar, Kedah, seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Faizal, berkata, dia berasa ragu-ragu untuk mengambil vaksin jenis lain kerana bimbang memberi kesan terhadap kesihatannya.
“Saya bersedia ambil suntikan penggalak, tetapi mahu jenis Sinovac juga kerana lebih yakin. Saya akur dengan arahan kerajaan bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap, bagi memudahkan pelbagai urusan harian,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, sijil vaksinasi individu berusia 60 tahun ke atas serta individu yang lengkap dos Sinovac akan bertukar ‘putih’ jika tidak mendapatkan dos penggalak sebelum 1 Mac ini.
Sehingga kini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau 1 juta warga emas masih belum mengambil dos penggalak.