KEMAMAN – Remaja perempuan berusia 15 tahun yang disyaki membunuh bayi lelaki baru dilahirkannya semalam ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 Februari depan.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Hospital Kemaman di sini hari ini.
Suspek yang keciciran persekolahan beberapa tahun lalu masih menerima rawatan di wad hospital itu setelah ditahan polis kelmarin.
Terdahulu Tengku Eliana tiba di Hospital Kemaman pada pukul 12.40 tengah hari semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui mati dengan kesan luka di bahagian dada kiri dipercayai ditikam ibunya.
Remaja perempuan terbabit dipercayai berada bersendirian di rumahnya di daerah ini sewaktu bersalin. – K! ONLINE.