LONDON – Prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto memberi amaran kepada pelumbanya bahawa mereka perlu bekerja keras untuk menguasai jentera 2022 yang lebih rumit.
Pada perlumbaan Formula Satu (F1) nanti, berlaku perubahan menyeluruh terutama pembangunan jentera yang kelihatan berbeza berbanding kempen musim lalu.
Antara perubahan yang dapat dilihat ialah sistem aerodinamik yang lebih kompleks, sekali gus bakal memberi cabaran kepada setiap pelumba.
“2022 akan menjadi musim berbeza kerana jentera juga berlaku perubahan yang amat ketara berbanding musim-musim sebelum ini.
“Peraturan baharu, jentera akan kelihatan berbeza dan mempunyai aerodinamik yang berbeza. Itulah sebabnya kami menjangkakan mereka memerlukan gaya pemanduan yang berbeza bagi mendapatkan hasil terbaik.
“Pemandu perlu menyesuaikan diri dengan cepat sekiranya enggan berdepan masalah ketika perlumbaan bermula,” katanya.
Dalam pada itu, Binotto turut menjangkakan perebutan gelaran dunia musim ini mungkin berubah dan menjadi lebih sengit.
“Kemungkinan mereka dapat memecut laju di selekoh tetapi akan lebih perlahan di beberapa sektor sekali gus merumitkan strategi perlumbaan musim ini,” tegasnya.
Ferrari optimis untuk membuka kempen saingan musim 2022 dan berharap pembangunan unit kuasa baharu mereka mampu memburu kemenangan dan mencabar gelaran dunia. – AGENSI