BEIJING – Berpuluh-puluh atlet yang diletak dalam pengasingan virus di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing mendedahkan kesengsaraan mereka termasuk ditarik keluar dari tempat tidur pada pukul 3 pagi dan diberi makanan yang ‘menyedihkan’ di dalam bilik kuarantin sempit, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Beijing cuba mengadakan temasya Olimpik Musim Sejuk bebas virus Covid-19 semasa pandemik dengan mengasingkan pasukan-pasukan di mana ujian saringan mesti diambil setiap hari, manakala sesiapa yang didapati positif akan ‘diseret’ ke lokasi pengasingan.
Atlet Rusia, Valeria Vasnetsova mendakwa bahawa dia dihidangkan makanan yang ‘tidak layak’ untuk dimakan dengan hidangan sama diberikan tiga kali sehari selama lima hari berturut-turut.
Ketua kontinjen Jerman Dirk Schimmelpfennig turut membidas keadaan yang beliau anggap ‘tidak boleh diterima’ untuk atletnya. Schimmelpfennig berkata, bilik pengasingan yang disediakan adalah terlalu sempit dan tidak cukup bersih, manakala ujian PCR yang perlu dijalani oleh atlet untuk mengesahkan sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya tidak dilakukan.
Atlet Poland, Natalia Maliszewska memberitahu, dia berulang kali berpindah masuk dan keluar dari tempat kuarantin selama beberapa hari kerana keputusan ujian Covid-19 yang bercanggah. Menurutnya pengalaman tersebut menyebabkan dia ‘trauma’, ‘menangis dan terus menangis’.
Dalam satu insiden pada ‘malam yang seram’, dia berkata, pegawai-pegawai mengheretnya keluar dari katil pada pukul 3 pagi (waktu tempatan) untuk membawanya pulang ke kampung atlet selepas memutuskan dia bebas Covid-19.
Namun, mereka kemudian mengaku telah tersilap dan membawanya kembali ke bilik kuarantin.
“Saya sedang duduk di dalam ambulans. Masa tu pukul 3 pagi. Saya menangis seperti orang gila kerana saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya tidak berasa selamat langsung,” kata atlet berusia 26 tahun itu.
Pada masa ini, terdapat 387 orang daripada kelompok atlet yang diletakkan dalam pengasingan Covid-19 di China.
Atlet sukan luncur dari Amerika Syarikat, Vincent Zhou adalah antara mereka yang positif saingan Covid-19 kelmarin dibawa ke tempat pengasingan. Pemain papan salji Austria, Sabine Schöffmann juga didapati positif koronavirus.
Ketua pasukan hoki ais Finland Jukka Jalonen pula berkata Ahad lepas bahawa China melanggar hak asasi manusia melibatkan salah seorang pemain bintangnya. Ini kerana pemain tersebut tetap dikuarantin walaupun doktor pasukan telah membenarkannya untuk bermain.
Marko Anttila ‘dikurung’ di fasiliti pengasingan sejak diuji positif virus Covid-19 18 hari lalu, kata Jalonen, dan kekal dalam pengasingan walaupun dia kini bebas daripada simptom.
Di bawah peraturan ketat China, orang ramai hanya boleh meninggalkan lokasi pengasingan selepas mendapat keputusan negatif dua ujian PCR yang dilakukan dalam selang masa 24 jam. – Agensi