PETALING JAYA – Kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi beberapa perayaan dan upacara keagamaan yang bakal disambut dalam masa terdekat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perayaan dan upacara keagamaan tersebut termasuklah Perayaan Maasi Magam yang akan disambut oleh masyarakat India di negara ini pada 17 Februari 2022.
SOP tersebut juga akan digunakan bagi perarakan Chingay yang akan disambut oleh 5 Clans (Hainan, Hakka, Hokkien, Teochew dan Tiong Hua) bermula pada hari ke-19 Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina iaitu dari 19 hingga 22 Februari 2022 di Johor.
“Bagi perayaan Maasi Magam, SOP itu akan dilaksanakan bermula 16 hingga 19 Februari 2022 dan hanya yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan mengikuti aktiviti keagamaan.
“Orang ramai juga patuhi amalan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter selain wajib memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, petugas dari pihak pengurusan kuil juga mestilah memakai vest atau pakaian yang boleh membezakan mereka sebagai petugas dan bertanggungjawab untuk memastikan kepatuhan penganut-penganut terhadap SOP yang telah ditetapkan.
“Upacara sembahyang di kuil dibenarkan mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat.
“Manakala perjalanan dan pergerakan kereta Chariot dibenarkan dengan bersyarat iaitu tidak lebih 50 orang pengiring yang terdiri daripada pihak pengurusan kuil sahaja serta tiada lokasi perhentian yang dibenarkan,” ujarnya.
Katanya, senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Maasi Magam juga perlu mendapat kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, bagi perarakan Chingay pula, yang akan berlangsung 19 hingga 22 Februari 2022 Hishammuddin berkata, upacara sembahyang dibenarkan di Johor Ancient Temple dan Xing Gong mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.
“Upacara Penyucian Jalan seperti dibenarkan dengan tidak lebih 100 orang ahli Pengurusan Tokong sahaja serta senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay perlu mendapat kelulusan pihak PDRM.
“Sementara itu, bagi upacara Pengusungan Dewa keluar dari Johor Ancient Temple Ke Xing Gong Pada 20 Februari 2022 dibenarkan seperti tidak lebih 200 orang ahli Pengurusan Tokong sahaja.
Bagi Upacara Kepulangan Dewa Kembali Dari Xing Gong Ke Johor Ancient Temple pada 22 Februari ini pula, Hishammuddin berkata, ia dibenarkan dengan tidak melebihi 200 orang ahli daripada pengurusan tokong dan senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay juga perlu mendapat kelulusan PDRM. – K! ONLINE