PETALING JAYA – Jemaah menteri bersetuju memberi subsidi ayam dan telur kepada penternak bermula 5 Februari lalu hingga 4 Jun depan iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pemberian subsidi sebanyak RM0.60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam adalah selepas mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kg.
“Selain itu, bagi subsidi telur, jemaah menteri bersetuju memberi sebanyak RM0.05 sen sebiji untuk semua kategori.
“Tujuannya untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ronald memaklumkan anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan adalah sebanyak RM528.52 juta.
“MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan serta beroperasi dalam skala penuh.
“Tujuannya bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, MAFI berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan.-K! ONLINE