PETALING JAYA – Menjadi tabiat sesetengah ibu bapa yang akan ‘tepek’ tuala basah di atas kepala anak ketika suhu badan mereka meningkat dan demam.
Namun, tindakan menuam kepala dengan tuala basah adalah bahaya dilakukan kerana boleh mengundang risiko sawan.
Menerusi perkongsian Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Mansor Ramli di laman TikTok, menjelaskan tentang cara dan kaedah jerlum kepada anak-anak dengan betul ketika demam.
Selain itu, beliau turut menerangkan dalam bentuk analogi seperti situasi periuk nasi yang memiliki haba di bahagian bawah penutup.
“Sama macam periuk nasi dan dalam situasi tuala basah ini, haba di bawah tuala akan terus terperangkap dan rasa panas itu umpama gagal dilepaskan.
“Boleh lakukan cara lain termasuk sapukan air secara terus ke kepala, leher dan juga ketiak, elakkan air terkena di tangan atau kaki supaya anak-anak tidak menggigil,” katanya.
Jelasnya, kaedah menggunakan tuala basah pada kepala anak boleh menghalang haba keluar dan apabila panas naik ke kepala, ia boleh menyebabkan anak-anak terkena sawan.
“Apabila panas naik ke kepala, ia boleh menyebabkan sawan tarik.
“Jadi, mak-mak kena jerlum air pada kepala anak setiap lima minit hanya menggunakan tangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, selalunya kaedah menggunakan tuala basah ini tidak bertahan lama dan sering ditepis serta dibuang oleh anak-anak kerana mereka kurang selesa.
“Paling berkesan untuk keluarkan haba panas dari badan adalah dengan ‘jerlum’ air di kepala anak guna tangan, sudah tentu anak tak boleh tepis,” ujarnya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna seperti baru tahu tentang kesan sampingan kaedah tersebut.
“Terima kasih atas pencerahan, selama ini kalau anak atau saya demam memang akan biar tuala semalaman atas kepala, lepas ini hanya sapu sahaja,” kata Aliah Suzana.
“Betul tu, cara terbaik untuk lap kepala adalah tuam dan ulang beberapa kali, bukan letak dan biar,” kata Abu Haikal.
Dalam pada itu, seorang pengguna berkongsi cara lain yang sering dilakukan ketika anak-anak demam dan ia dikatakan petua orang zaman dahulu.
“Saya biasanya sapukan kepala dan leher anak dengan air asam jawa, lepas sejam terus kurang panasnya, dari dulu mak saya ajar cara macam itu,” jelas Roshani Md. Zain. – K! ONLINE.