PUTRAJAYA – Inisiatif ‘Virtual Black Stone (Hajar al-Aswad Secara Maya) yang diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini membolehkan umat Islam menyentuh Hajar al-Aswad menerusi kemudahan teknologi realiti maya (VR).
Namun, ada yang berpandangan bahawa umat Islam tidak perlu lagi pergi umrah dan haji kerana Masjid al-Haram boleh dikunjungi secara maya pada bila-bila masa sahaja dan boleh terus melakukan ibadah melalui VR tersebut.
Bagi merungkai persoalan itu, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tampil dengan penjelasan terperinci yang di kongsi menerusi portalnya, Maktabah Al-Bakri hari ini.
Jelas Zulkifli, ibadah haji dan umrah wajib dilakukan di tempat-tempat yang telah disyariatkan seperti di Masjid al-Haram, tempat bersa’ie, mina, Arafah, dan Muzdalifah.
Katanya, sekiranya ia hanya hadir secara maya, maka tidak sah ibadah haji dan umrahnya.
“Kami menyokong penuh inisiatif Arab Saudi yang memperkenalkan teknologi VR bagi membolehkan umat Islam di seluruh dunia merasai suasana berada di hadapan kaabah di dalam Masjid al-Haram.
“Hal ini kerana tidak semua orang mampu untuk merasai suasana di hadapan Kaabah secara nyata dan pada masa sama, orang ramai akan dapat memanfaatkan teknologi ini untuk belajar melakukan haji dan umrah secara VR.
“Namun begitu, tidak wajar untuk sesetengah pihak menganggap bahawa dengan adanya VR di hadapan Kaabah, sudah cukup untuk tidak mengunjungi kaabah secara nyata dan boleh melakukan ibadah melaluinya, sedangkan hakikatnya dia berada di bilik rumahnya,” katanya. – K! ONLINE.