SALURAN berbahasa Inggeris terkemuka, AXN Asia menjemput peminat ke resort mewah di pulau impian Fantasy Island, di situ segala fantasi pasti dipenuhi, walaupun mungkin tidak akan berlaku seperti apa yang diharapkan dalam dunia realiti.
Terhasil daripada pembikin The 100, The Shield dan Lie to Me oleh Elizabeth Craft dan Sarah Fain, naskhah fantasi moden serba baharu ciptaan semula siri televisyen klasik berkenaan memperkenalkan peneraju wanita sebagai tuan rumah, pemilik pusat peranginan merupakan satu sentuhan segar buat siri berkenaan.
Fantasy Island, ciptaan semula drama klasik 1970-an yang pernah tercalon menerusi Golden Globes dan Primetime Emmy dibintangi Roselyn Sanchez sebagai Elena Roarke, pengurus pulau misteri yang juga merupakan keturunan Roarke daripada siri asal.
Roselyn mengetepikan cita-cita sendiri dan menolak cinta dalam hidupnya demi meneruskan legasi keluarganya.
Dalam setiap episod, juruterbang dan ketua pengangkutan pulau, Javier (John Gabriel Rodriquez) akan menerbangkan tetamu dari semua lapisan masyarakat ke pulau yang indah itu untuk menghidupkan fantasi mereka, namun dengan syarat tertentu.
Melalui fantasi mereka, setiap tetamu akan disajikan pengajaran hidup. Namun apabila fantasi mereka menjadi keterlaluan dan bukan lagi seperti apa yang diharapkan, Roarke akan campur tangan untuk menawarkan nasihat.
Sebagai pembuka siri, Roarke mengalu-alukan ketibaan hos rancangan pagi tempatan Christine Collins (Bellamy Young). Christine dapat memenuhi fantasinya untuk makan apa sahaja yang diingini tanpa menambah berat badan sehingga dia menyedari bahawa keinginannya menjangkau lebih daripada sekadar makanan.
Tetamu Roarke yang lain termasuk Ruby Akuda yang sakit tenat (Kiara Barnes) yang tiba di Fantasy Island bersama suaminya. Mereka diberi nafas baharu dalam kehidupan.
Pasangan itu menikmati fantasi mereka tetapi pada akhirnya perlu membuat keputusan yang boleh mengubah masa depan.
Menjalani penggambaran di pulau Puerto Rico, Fantasy Island menawarkan pengalaman yang mengasyikkan dan membawa penonton ke realiti tropika.
Dalam setiap episod pasti ada kisah emosi dan provokatif daripada setiap pengunjung pulau yang datang dengan impian, namun pada akhirnya mereka pulang dengan kesedaran hasil keajaiban Fantasy Island.
Drama bersiri sepuluh episod bertemakan fantasi berkenaan akan ditayangkan di rantau Asia Tenggara bermula 17 Februari nanti.
Episod baharu akan menemui penonton setiap Khamis pukul 9.45 malam. Rakyat Malaysia boleh menonton drama bersiri plot-twist ini menerusi saluran 701 HD dan unifi TV saluran 453.