fbpx

Empat direman bantu siasatan kes rasuah projek selenggara cerun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang lelaki yang ditahan SPRM di pekarangan Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA – Empat lelaki masing-masing dua pegawai sebuah agensi kerajaan dan dua pemilik syarikat ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan cerun.

Perintah reman sehingga 14 Februari itu dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Empat suspek masing-masing berusia antara 39 hingga 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Sumber berkata, keempat-empat suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan bagi kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun jalan raya.

Menurutnya, dua pegawai agensi kerajaan terbabit yang masing-masing berusia 39 tahun kini bertugas di Negeri Sembilan manakala seorang lagi bertugas di ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Difahamkan, kedua-dua pegawai tersebut telah meminta dan menerima suapan daripada kedua-dua pemilik syarikat terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan di jalan negeri membabitkan peruntukan kira-kira RM300 juta setahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI