SEGAMAT – Polis menahan dua lelaki yang disyaki memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Jalan Segamat-Kuantan di sini pada 7 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia 30an dan 20an itu ditahan pada pukul 11.30 malam semalam dalam serbuan berasingan di sekitar taman perumahan di Buloh Kasap, di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 30an memiliki 19 rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah serta jenayah selain dikenali sebagai ‘kambing’. Suspek berusia 20an itu turut memiliki 16 rekod jenayah lampau dan juga berkaitan kes penyalahgunaan dadah.
“Kedua-dua suspek warga tempatan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga baru dibebaskan dari menjalani hukuman penjara beberapa bulan lalu atas sabitan beberapa kesalahan lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, hari ini.
Hasil siasatan awal, pihak polis tidak menolak kemungkinan mereka ini terlibat dalam cubaan melarikan wang tunai sebanyak RM77,000 dalam kiosk mesin ATM di dalam premis pasar raya berkenaan.-K! ONLINE