MOSCOW – Seorang jeneral bersara Rusia memberi amaran terbuka kepada Presiden Vladimir Putin supaya tidak berperang dengan Ukraine, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Kolonel Jeneral Leonid Ivashov, 76, berkata Putin sengaja mengada-adakan konflik yang timbul sekarang bagi mengalih perhatian dunia daripada masalah sebenar dalam negara itu.
Ivashov menulis surat terbuka bertajuk The Eve Of War kepada Putin yang mengecam ‘dasar jenayah mencetuskan perang’ oleh beliau biarpun Rusia tidak berdepan sebarang ancaman yang kritikal.
Amaran tersebut dikeluarkan oleh bekas pemimpin tentera Rusia itu ketika Presiden Perancis, Emmanuel Macron berlepas ke Kremlin untuk berbincang dengan Putin mengenai situasi semasa di sempadan Rusia-Ukraine.
Ivashov yang bersara daripada perkhidmatan tentera kini aktif dalam politik sebagai pengerusi Dewan Perhimpunan Pegawai Rusia.
Dalam surat terbuka di laman web dewan perhimpunan itu, beliau meluahkan kebimbangan sekiranya Rusia akan dikecam oleh masyarakat dunia jika pencerobohan ke atas Ukraine diteruskan.Beliau turut menggesa Putin supaya meletak jawatan.
Selepas dipecat oleh Putin pada 2001, beliau menjadi pengkritik keras Presiden Rusia itu dan kerap meminta Putin meletak jawatan kerana melindungi golongan elit yang korup.
Campur tangan terbaharu oleh Ivashov itu menunjukkan masih ada pihak di Rusia yang menentang perang dengan Ukraine.
Perkembangan itu berlaku selepas satu petisyen ditandatangani oleh 5,000 rakyat yang menuntut Putin membatalkan konflik itu.
“Ancaman luar sentiasa wujud namun menurut penilaian pakar kami, ancaman itu pada masa ini tidak kritikal.
“Pencerobohan ini secara langsung akan mengancam kewujudan negara Rusia dan kepentingannya,” tegas Ivashov.
Mengulas mengenai surat itu, pakar mengenai hal ehwal Rusia, Michael McFaul berkata, campurtangan Ivashov itu menunjukkan krisis Moscow-Kiev kini semakin serius.
“Ini menunjukkan ada masalah besar dalam pentadbiran dalaman Rusia kerana Ivashov ialah seorang tokoh ketenteraan yang sangat dihormati.
“Individu berpangkat besar seperti beliau biasanya tidak akan terlibat dalam perbahasan dasar awam,” kata MacFaul. – Agensi