LUMUT – Sebanyak 700 lot niaga melibatkan 12 lokasi bazar Ramadan ditawarkan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sepanjang bulan puasa tahun ini.
Bilangan itu menunjukkan penurunan 248 lot niaga berbanding 948 lot niaga di 15 tapak bazar yang ditawarkan pada Ramadan tahun lalu.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pihaknya turut melantik 11 penganjur bagi menguruskan semua bazar Ramadan tersebut.
“Kami hanya mengenakan permit bazar Ramadan sebanyak RM30 bagi seorang peniaga dan tiada sebarang bayaran deposit dikenakan kepada mereka.
“Segala urusan bayaran tersebut akan diselaraskan atau diikutip oleh pihak penganjur terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Syamsul Hazeman, bayaran permit itu bagaimana pun akan dikembalikan kepada peniaga jika bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Ujar beliau, sesi taklimat berkaitan pengurusan bazar akan dilakukan pada Khamis ini diikuti pengeluaran permit niaga. -K! ONLINE.