fbpx

Yang kaya, ada nama, bapa saya – Zaki Yamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAKI YAMANI

PETALING JAYA – Penyanyi muda, Zaki Yamani mengakui berdepan pandangan skeptikal segelintir individu apabila melihatnya mengusahakan perniagaan kedai makan sedangkan berstatus anak kepada penghibur tersohor, Datuk Jamal Abdillah.

Remaja berusia 16 tahun  itu berkata, segelintir pihak menyangka dia selesa tanpa perlu memikirkan soal kewangan, namun apa yang dilalui pula sebaliknya.

“Mungkin orang salah faham kerana saya masih bersekolah tetapi sudah sibuk mahu berniaga. Mereka kata, saya patut menumpukan perhatian terhadap pelajaran saja.

“Sebenarnya sudah lama saya dan ibu memperincikan rancangan untuk membuka kedai makan Ngopi Dulu Yop ini.

“Modal memulakan bisnes kecil-kecilan yang sudah lebih lima bulan beroperasi ini juga hasil perkongsian kami berdua. Kedai ini direalisasikan sebagai sumber mata pencarian kami.

“Dalam keadaan sekarang saya kena tolong ibu cari rezeki untuk menampung kehidupan kami berdua. Mujur sejak empat tahun lepas kami tinggal di rumah datuk di Kajang.

“Nak kata hidup kami susah tidaklah sangat sebab ayah pun ada bagi duit belanja untuk saya. Cuma sejak ibu tidak dapat teruskan kerja bawa pekerja asing masuk berikutan pandemik membuatkan kami buka kedai makanan pula.

“Insya-Allah, setakat ini saya masih dapat bahagikan masa antara sekolah dan berniaga walaupun penat sikit sebab sekarang kami tiada pekerja. Ambil pesanan, jadi barista, masak, semua buat sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pemilik nama sebenar Ahmad Zaki Yamani marupakan anak kedua anak Jamal bersama bekas isterinya yang ketiga, Fatimatuzahra Abdul Samad. Mereka bercerai pada 2007 selepas dua tahun berumahtangga.

Ditanya sama ada bapa mengetahui perkembangan terbaharunya, Zaki mengakui pernah mendedahkan hasrat berkenaan, namun bukan bertujuan untuk meminta bantuan modal.

Katanya, kali terakhir bertemu bapanya adalah ketika rakaman single ciptaan Ezra Kong berjudul Tangan Yang Melambai pada November tahun lalu yang turut disertai abangnya, Osama Yamani.

“Saya ada maklumkan kepada bapa. Apa pun Ngopi Dulu Yop sangat istimewa bagi saya sebab sebahagian modal merupakan duit hasil persembahan pentas saya dulu ditambah wang simpanan ibu.

“Saya bukan jenis beli benda mahal sebab lebih suka menabung. Jadi bila orang cakap saya tak perlu susah-susah terdetik sikit rasa ralat. Yang kaya ayah bukan saya. Yang ada nama pun ayah, bukan saya. Jadi saya kena usaha lebih lagi kalau nak berjaya.

“Sebagai anak lelaki saya kena tolong ibu. Semasa kecil saya tengok ibu berniaga baju, sekarang saya pula tolong dia cari duit tambahan pula tawaran nyanyian pun tak serancak sebelum fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Hubungan saya dan ayah macam biasa. Taklah selalu berhubung sebab dia pun sibuk dengan kerja dan keluarga. Ikutkan selepas lagu ciptaan Ezra Kong itu dia ada perancangan lain lagi untuk kami bertiga,” katanya yang mengakui rapat dengan Osama, abang sulung berlainan emak dengannya.

Terkini, Zaki semakin seronok meneroka dunia lakonan selepas beraksi dalam sebuah produksi siaran Astro berjudul Hantu Jepun serta sebuah lagi drama untuk TV3.

“Percubaan ke dunia lakonan hakikatnya menyeronokkan walaupun agak mencabar untuk orang baharu seperti saya. Namun pengalaman di set penggambaran sangat menyeronokkan.

“Minat berlakon juga semakin menebal kerana saya dapat menimba ilmu daripada ramai pelakon hebat. Selepas ini saya memang ada rancangan nak mendalami ilmu lakonan sebab mahu serius dalam cabang seni ini,” kongsinya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI