KAJANG – Berdepan era moden yang disogok dengan ledakan teknologi maklumat serta mudah mendapatkan informasi di media sosial, isu berhubung tahap kesihatan wanita dan kesuburan dalam meniti usianya ke alam keibubapaan sering dilupakan begitu sahaja.
Masyarakat kini beranggapan semua jawapan begitu mudah diperoleh melalui maklumat di internet, tetapi hakikatnya ilmu sebenar mengenai kesuburan dan perjalanan meniti ke alam kewanitaan dan keibubapaan perlu dilakukan melalui penyertaan dalam majlis ilmu yang melibatkan kehadiran pakar serta perkongsian pengalaman dari semua pihak yang terlibat.
Menyedari kelemahan tersebut, dua wanita yang menggelar diri mereka Women of Wellness (WoW) telah mengambil inisiatif menganjurkan satu kempen dinamakan Celebrating Your Fertility Journey.
Kempen anjuran Pengasas produk jenama NURA+, Lynda Eunos bersama Pengasas Bondahaven, spa bersalin dan juga pusat khusus penyusuan, Hana Halim, telah dihadiri oleh kira-kira 20 peserta.
Menurut Lynda, kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan mengubah tanggapan salah masyarakat mengenai kesuburan dengan menyediakan maklumat dan bimbingan terutamanya kepada kumpulan muda apabila mereka memasuki alam kewanitaan, keibuan serta keibubapaan.
“Topik perancangan keluarga adalah antara isu bukan popular yang dibincangkan khususnya oleh pasangan muda yang baharu berkahwin.
“Melihat kepada permasalahan dan keganasan rumah tangga yang sering berlaku kini, perancangan keluarga adalah perkara penting yang perlu dititikberatkan kerana turut melibatkan perancangan ke arah memperoleh sebuah keluarga yang sihat secara holistik (mental dan fizikal),” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi perbincangan secara maya mengenai ‘Fasa keibubapaan – Apa Yang Dipertaruhkan’ oleh Pakar Obstetrik, Pakar Sakit Puan dan Sakit Pelvis, Dr. Sharifah Halimah Jaafar dan juga Presiden Persatuan Wanita Antarabangsa Johor Bahru, Saira Jenthnani.