PENYERANG sensasi Selangor FC, Shahrel Fikri Md. Fauzi mengharapkan keputusan menukar nombor jersi ke nombor 19 dapat memberikan tuah buatnya untuk tampil lebih konsisten pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sebagai rekod, Shahrel yang lebih mesra dengan nama panggilan Eky telah menyertai kem Gergasi Merah pada tahun lalu daripada pasukan Perak sebelum diberikan jersi ‘legenda’ nombor 10.
Namun, prestasi yang dipamerkan oleh pemain berusia 28 tahun itu pada musim lepas tidak begitu memberangsangkan selain sering dibelenggu kecederaan sekali gus gagal memberikan impak yang diharap oleh penyokong skuad Merah Kuning.
Eky berkata, keputusan untuk menukar nombor jersi adalah tepat memandangkan sekarang adalah detik bagi membuktikan keupayaan sebenar dalam masa yang sama membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Musim baharu ini sudah tentu azam pemain juga akan baharu dan situasi saya juga sama yang mana mahu membantu pasukan memperoleh keputusan positif untuk dihadiahkan kepada peminat Selangor.
“Mengenai keputusan untuk menukar jersi, saya anggap tiada rezeki buat saya menyarung nombor 10 musim ini kerana mahu kembali menggunakan nombor 19 yang lebih memberikan tuah dan sebati dengan jiwa saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jersi keramat nombor 10 yang sebelum ini pernah disarung oleh legenda Selangor, Datuk Mokhtar Dahari kini telah diberikan kepada penyerang import baharu dari Brazil, Herlison Caion musim ini.
Dalam perkembangan sama, Eky telah turun buat pertama kali musim ini dalam aksi persabahatan menentang kelab Liga Premier, The Red Warriors kelmarin dan berjaya meledak satu gol untuk memastikan pasukan melakar kemenangan 3-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.