LOS ANGELES – Satu klip video mengenai prosedur pembuangan kutu menjadi tular di laman TikTok apabila memaparkan rambut seorang gadis yang menjadi perumah kepada ribuan serangga itu selama lima tahun, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Sepasukan pakar dikenali sebagai The Lice Angels yang berpangkalan di Los Angeles berkongsi video itu sebagai peringatan kepada mereka yang berdepan masalah serupa.
Ia menunjukkan seorang gadis berambut panjang duduk di atas kerusi plastik putih sambil rawatan anti-kutu disapu pada kulit kepalanya.
Salah seorang pakar kutu yang memakai sarung tangan plastik dilihat menyembur rambut gadis itu dan menyikat kutu melaluinya.
Video itu berubah menjadi agak menyeramkan apabila ratusan ekor pepijat yang menggelikan ditangkap dalam satu sapuan.
“Jangan lihat. Anda mungkin jatuh sakit. Kes kutu paling teruk pernah berlaku,” tulis keterangan video.
Video itu menarik pelbagai reaksi pengguna media sosial yang meluahkan rasa geli dengan keadaan rambut gadis malang itu.
“Jika itu rambut saya, saya akan terus cukurnya menjadi botak,” komen seorang pengguna media sosial. – Agensi