PETALING JAYA – Tular kisah seorang pelajar, Nur Alia Mohd. Acha, 21 yang mendakwa video TikToknya telah disunting oleh pihak luar serta disamakan dengan individu yang terlibat dalam rakaman video lucah.
Sehubungan itu, Alia memaklumkan telah membuat satu laporan polis berhubung perkara tersebut setelah menerima gangguan seksual menerusi komen-komen yang ditinggalkan oleh pengguna lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan, pelajar tersebut ada membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada 31 Januari 2022.
“Memang ada pelajar tersebut hadir ke balai dan membuat aduan mengenai video TikToknya yang telah disunting tanpa kebenaran dan pengetahuannya sehingga mengundang gangguan seksual.
“Kes ini telah dirujuk bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyekat video tersebut dari terus menular,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Christopher, pihaknya juga sedang mengesan individu yang terlibat dalam penyuntingan video tersebut untuk diambil tindakan seterusnya.
Sebelum ini, Alia memuat naik sebuah video yang memaparkan dirinya sambil bercerita tentang keadaan bibirnya yang kering dan dia juga mengenakan tudung berwarna hijau ketika itu.
Video tersebut telah disunting dan menerima pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya menyamakannya dengan watak seorang wanita atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Suraya’ sehingga dia dimalukan serta dikatakan sebagai pelakon aksi lucah. -K! ONLINE