INISIATIF beberapa kumpulan nasyid menjalin kerjasama dengan penyanyi solo ternama diakui berjaya menghidupkan semula irama nasyid tanah air.
Biarpun lagu yang dinyanyikan adalah versi rakaman semula, sekurang-kurangnya usaha sebegitu mampu memperkenalkan irama nasyid kepada generasi muda hari ini, sekali gus mengumpul peminat baharu.
Kumpulan Mestica juga tidak ketinggalan daripada arus itu. Muncul dengan single baharu berjudul Istikharah, Mestica memilih penyanyi legenda Datuk Hattan sebagai penyeri.
Sekitar hampir 20 tahun lalu, Mestica yang ditubuhkan pada 2003 antara kumpulan nasyid yang menjadi kegilaan pelajar universiti dan peminat irama nasyid dengan deretan lagu popular mereka.
Selepas kali terakhir muncul dengan album Projek Palestin – Satu Misi Kemenangan bersama beberapa penyanyi nasyid lain pada 2013, tahun ini Mestica yang dianggotai Muhamad Razin Che Mud (Razin), Mohd Khairulnizam Zainol (Khairul) dan Khalil Khusairi Tarmizi (Khalil) mencuba sesuatu yang baharu.
Menurut Razin juga pencipta lagu Istikharah, projek single berkenaan satu penghormatan buat mereka apabila Hattan bersetuju untuk berkolaborasi
“Untuk lagu ini tentunya kita meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi ini kali pertama Mestica berduet dalam satu single dengan Hattan yang cukup besar namanya dalam industri.
“Saya difahamkan Hattan sendiri tidak pernah terbabit produksi atau single bergenre nasyid. Ini satu penghormatan juga disebabkan Hattan sudi memilih kami sebagai artis nasyid pertama untuk berkolaboratif.
“Dengan sambutan yang baik insya-Allah akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkarya dan meletakkan Mestica kepada satu tahap yang baharu dalam industri muzik tempatan,” kata Razin.
Berkongsi lanjut mengenai single berkenaan, Razin berkata lirik lagu itu ditulis oleh isterinya, Mass Mohamad.
“Lagu Istikharah sebuah lagu yang cukup istimewa bagi Mestica. Lagu ini adalah satu ‘subject matter’ yang jarang diangkat dalam nasyid ataupun lagu lain.
“Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu istikharah Tapi, apabila dijadikan inti ataupun isi kepada sebuah lagu maka lebih mudah untuk diterjemahkan yang mana istikharah merujuk kepada solat yang dilaksanakan oleh seorang Muslim ketika berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan.
“Istilah itu sinonim dalam masyarakat kita bila nak mencari atau bertemu jodoh sama ada pilihannya betul atau tidak,” katanya.
Dalam masa sama, Razin mempunyai alasan tersendiri kenapa lagu Istikharah dihasilkan dalam genre balada.
“Kita tahu lagu balada dan pop balada ini satu genre muzik yang sangat diminati oleh masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu. Saya masih ingat dari segi proses penulisan lagu ini ketika baru nak dicipta, ketika itu baru pulang dari konsert Opick di Kuala Lumpur.
“Ketika memandu itu saya dapat melodi ini dan saya padankan dengan satu lirik sedia ada yang bertajuk Istikharah.
“Proses rakaman adalah satu proses yang cukup mencabar disebabkan kami lama tidak masuk ke studio apatah lagi bila kita berkolaborasi dengan Hattan tentunya ada segan dan gerun, sebab kami semua membesar dengan lagu-lagu Hattan,” jelas Razin lagi.
Sementara itu, Hattan menyifatkan Istikharah sebagai lagu yang memberi semangat dan mesej perjuangan.
“Saya tabik dengan apa yang Mestica buat dan saya menyokong penuh single terbaharu ini. Saya tiada dalam penciptaan lagu ini. Jadi, saya rasa bahagian penulisan dan mengenai penceritaan lagu ini semua saya serahkan kepada Mestica.
“Bantuan pakar seperti Daqmie memudahkan rakaman kerana saya tidak pernah buat rakaman nasyid sebelum ini,” katanya.
Hattan bagaimanapun mengharapkan sesuatu yang berbeza dalam penghasilan video muzik.
“Saya berharap muzik video itu menjadi sesuatu yang lain. Tapi apa pun, bukan semua idea kita sama dan tetap bagus sebab dapat bekerjasama dengan anak muda serta pasukan yang baru saya kenal ini,” tutup Hattan.