BANGKOK – Setiausaha Agung Majlis Perubatan Thailand menggesa kerajaan supaya melaksanakan kempen mendidik pemandu tentang kewajiban untuk berhenti semasa lampu isyarat merah dan di lintasan pejalan kaki atau lintasan zebra, lapor laman berita The Thaiger semalam.
Dalam catatan di halaman Facebooknya, Ittaporn Kanacharoen berkata, pemandu perlu diajar tentang hak pejalan kaki di lintasan zebra dan peraturan lampu isyarat.
“Pemasangan lampu isyarat menjadi sia-sia sekiranya pemandu tidak dididik untuk berhenti semasa lampu merah,” katanya.
Terdahulu, perancangan sedang dilakukan untuk menjadikan lintasan zebra di bandar raya itu lebih selamat susulan kes kemalangan ngeri melibatkan pakar oftalmologi, Dr Waraluck Supawatjariyakul.
Mangsa maut dilanggar seorang anggota polis yang di luar waktu bertugas. Anggota berkenaan menaiki motosikal yang dipandu laju dan melanggar mangsa ketika dia menggunakan lintasan pejalan kaki.
Kematian Waraluck mencetuskan perdebatan hebat di media sosial dan menggerakkan inisiatif kerajaan untuk memasang lampu isyarat pejalan kaki di persimpangan Jalan Phaya Thai.
Menurut laporan portal berita Thai PBS World, kerja pemasangan dijangka siap dalam masa seminggu dan selepas itu, lampu isyarat tersebut akan diuji sebelum mula beroperasi.
Kamera berteknologi kepintaran buatan (AI) juga akan dipasang pada peringkat seterusnya untuk mengesan pemandu yang gagal berhenti di lintasan pejalan kaki dan persimpangan lampu isyarat. – Agensi