KYIV, Ukraine – Seorang nenek di Ukraine turun padang untuk menjalani latihan tentera sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan peperangan dengan Rusia, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Neneki dikenali sebagai Rumia,59, itu menyertai beratus-ratus sukarelawan Ukraine bersama Pasukan Pertahanan Wilayah (TDF) yang menyediakan pelajaran asas peperangan seperti memegang dan menggunakan senjata api.
Rumia berasal dari Tartar Crimean iaitu Semenanjung Crimea yang dirampas oleh Rusia pada 2014.
Beberapa tahun selepas tanah airnya diceroboh, Rumia nekad menyertai rakyat Ukraine dari semua peringkat umur untuk cuba mempertahankan negara mereka.
Wanita itu dirakam memegang model senapang serangan bersama sukarelawan lain termasuk seorang kanak-kanak seawal usia empat tahun yang berlatih di pinggir Kyiv.
Ancaman pencerobohan berskala besar telah meningkat menjelang hujung tahun 2021 dan permulaan tahun ini tetapi sebenarnya Ukraine berdepan dengan krisis tersebut sudah agak lama.
Wilayah Donbas di Ukraine telah berperang sejak 2014 dengan kumpulan pemisah disokong Rusia berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.
Rusia terus menafikan sebarang niat agresif terhadap Ukraine tetapi Presiden Putin telah mengumpulkan lebih 100,000 askar bersama kereta kebal, meriam dan bekalan di sepanjang sempadan negara itu dengan Ukraine. – Agensi