LANGKAWI – Mayat seorang nelayan warga Thailand ditemui di dalam bot yang karam di kedudukan kira-kira lima batu nautika barat laut Pulau Payar di sini semalam.
Mayat mangsa dikenali sebagai Phanu Tarurak, 27, ditemui penyelam bebas kira-kira pukul 12.05 tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi semalam, seramai 16 kru bot nelayan tempatan Kelas A atau bot bilis terselamat manakala seorang lagi hilang selepas bot tersebut tenggelam akibat kerosakan pada hos salur masuk air laut.
Kesemua mangsa berusia lingkungan 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang berada berhampiran kawasan kejadian.
Salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan.
Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, Op Carilamat mangsa hilang diteruskan seawal pukul 8 pagi ini oleh sebuah aset APMM jenis bot Perkasa 1225 dan lima bot nelayan tempatan di kawasan seluas 2.8 batu nautika.
“Pada pukul 11 pagi, seramai empat penyelam bebas melakukan kerja-kerja menyelam ke dasar laut untuk menjejaki mangsa yang disyaki masih terperangkap di dalam bot karam.
“Satu mayat kemudian ditemui pada pukul 12.05 tengah hari di dalam bilik jentera bot dan kerja-kerja mengeluarkan mayat dilakukan oleh penyelam terlibat,” katanya. – K! ONLINE