fbpx

Malapetaka menimpa Madagascar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sawah padi yang ditenggelami air akibat Taufan Batsirai di Madagascar, kelmarin. - Madagascar Tribune

ANTANANARIVO, Madagascar – Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban  dan 50,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas  Taufan Batsirai membadai bandar Mananjary di Madagascar petang Sabtu lepas, lapor Badan Penyiaran British (BBC).

Batsirai yang merupakan ribut besar kedua yang melanda negara itu dalam masa dua minggu, turut mengakibatkan bencana tanah runtuh. Taufan itu membawa angin selaju 235 kilometer sejam dan ombak besar ke kawasan pantai.

Menurut  media tempatan, hampir semua penempatan yang terletak di pesisir pantai musnah dibadai ribut, menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Akibat bencana itu, bekalan elektrik  terputus dan bekalan air bersih juga terjejas, malah pusat -pusat perlindungan banjir juga berada dalam keadaan teruk dengan kebanyakan bumbungnya tercabut.

“Kediaman kami seperti baru dibom. Semuanya  hilang sekelip mata. Pekan Nosy-Varika yang berdekatan juga mengalami kemusnahan hampir 95 peratus.

“Rumah-rumah yang pada kebiasaannya kelihatan kukuh, sudah kehilangan bumbung akibat diterbangkan ribut,” kata Penasihat Naib Presiden Senat Madagascar, Willy Raharijaona.

Menteri Alam Sekitar, Vahinala Raharinirina memberitahu, banyak perkampungan hampir musnah dengan sebahagiannya dihanyutkan oleh banjir.

Menurut agensi pengurusan bencana tempatan, kira-kira 48,000 kehilangan tempat tinggal, namun angka lebih besar mencecah 150,000 dianggarkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP).

Pakar-pakar  mengatakan bahawa bencana  cuaca ekstrem seperti taufan akan menjadi lebih kerap kerana perubahan iklim dunia.

Bencana terbaharu itu berlaku ketika Madagascar baru pulih daripada kemarau yang panjang disebabkan oleh impak pemanasan global.

Raharinirina memaklumkan  bahawa negara itu memerlukan bantuan  AS$1billion (RM4.185 bilion) setahun untuk menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI