KLANG – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai di Jambatan Raja Muda di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu disedari orang awam yang ternampak mangsa terapung di sungai tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 15 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja serta Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.05 pagi.
“Gerakan mencari lelaki yang tidak dikenal pasti identiti itu giat dijalankan di sekitar kawasan tersebut.
“Namun, operasi pencarian belum menemukan mangsa dan terpaksa dihentikan pukul 7 petang tadi dan disambung esok pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Norazam, operasi mencari dan menyelamat itu turut disertai Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan orang awam terkejut melihat seorang lelaki yang tidak berbaju terapung di sungai berkenaan. Orang ramai kemudian cuba berkali-kali memanggil lelaki berkenaan namun masih tiada sahutan. -K! ONLINE