fbpx

Kru bot nelayan hilang selepas bot dipukul ombak kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri terjatuh ke dalam laut awal pagi tadi belum menemui sebarang petunjuk baharu.

ALOR SETAR – Seorang kru bot nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar menangguk siput di kedudukan 6.7 batu nautika barat laut Kuala Kedah dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd. Ayob Jalaluddin, 39, dipercayai terjatuh ke dalam laut apabila bot tersebut dipukul ombak kuat semasa dalam perjalanan balik ke pangkalan kira-kira pukul 5.30 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi carilamat dengan mengatur gerak bot Perkasa 1224 ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada pengadu, Ismail Saidin.

“Bot nelayan tempatan Kelas A bernombor pendaftaran PSF 2120 yang berpangkalan di Kuala Sala dekat sini sedang melakukan aktiviti menangguk siput sebelum tekong menyedari mangsa tiada di bot tersebut.

“Mangsa, Mohd. Ayob dipercayai terjatuh ke dalam laut setelah bot dipukul ombak yang kuat semasa mereka dalam perjalanan balik ke pangkalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, usaha mengesan mangsa turut disertai agensi lain iaitu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.

“Operasi mencari dan menyelamat pada hari pertama di Jeti Nelayan Kuala Kuar ditangguhkan pada pukul 7 malam ini dan pencarian akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.

“Setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui,” tambahnya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI