MERSING – Gara-gara harga dedak naik mendadak, beberapa pengusaha ayam segar di negeri ini terpaksa mengurangkan bekalan ayam yang dipelihara di ladang bagi mengurangkan kos operasi.
Pengusaha ayam di Kampung Makam Mersing, Muhammad Siddiq Mohd, Sokran, 27, berkata, peningkatan kos termasuklah dari segi makanan ayam dan juga bekalan benih ayam ekoran harga ayam yang tidak boleh dijangka kenaikan dan penurunannya.
Ujarnya, rata-rata penternak mengalami tekanan kerana peningkatan kos penjagaan ayam yang juga perlu diambil kira.
“Kos operasi bagi setiap penternak berbeza bergantung kepada permintaan ayam di kawasan tersebut dan juga pengurusan kandang itu sendiri.
“Kebanyakan penternak hanya untung RM1 hingga RM1.20 setiap kilogram ayam, manakala kos operasi juga bergantung kepada jumlah ternakan dan tahap penjagaan ayam itu sendiri.
“Harga dedak pula sekarang memang sangat menjejaskan kami sebagai penternak. Ada yang terpaksa kurangkan jumlah ayam yang dipelihara sebab tak mahu tanggung kerugian,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Muhammad Siddiq berkata, dia terpaksa memelihara 2,500 ekor ketika ini berbanding sebelum ini antara 4,000 hingga 5,000 ekor.
Bagi penternak ayam di Felda Lok Heng Timur Kota Tinggi, Borhanuddin Samsudin, 29, pula berkata, kerajaan perlu mengambil berat terhadap penternak ayam yang ada.
Katanya, sekiranya tiada penternak maka bekalan ayam juga akan tiada di pasaran.
“Kerajaan perlu pantau harga dedak sekiranya harga dedak tinggi penternak akan terjejas dan kemungkinan ramai penternak yang tidak mahu bela ayam lagi.
“Bukan itu sahaja benih ayam juga kini susah untuk dapat kerana harganya yang semakin tinggi seekor RM3 sukar untuk dapat harga RM2,” jelasnya.