PETALING JAYA – Keluarga Malaysia komited memainkan peranan untuk membentuk sahsiah dan kawal kendiri bagi menyemai serta mengukuhkan kesepaduan komuniti dalam ekosistem siber agar ancaman dan jenayah siber dapat ditangani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi mewujudkan persekitaran siber yang positif dan sejahtera.
“Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kebanyakan ahli Keluarga Malaysia telah beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan mereka.
“Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, namun, situasi ini telah menyebabkan kita alpa dalam menjaga adab dan etika dalam dunia siber,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 yang bertemakan K.I.T.A Siber, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, meskipun teknologi digital banyak membantu, tetapi penyalahgunaan teknologi masih berlaku termasuklah penggunaan Internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga muncul pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber.
“Saya menyeru kepada Keluarga Malaysia supaya terus memupuk sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain dengan mengamalkan kaedah komunikasi danmengambil kira inklusif di samping meningkatkan keakraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni,” ujarnya. -K!ONLINE