YAOUNDE – Kapten Senegal, Kalidou Koulibaly menganggap penjaga gol, Edouard Mendy sebagai penyelamat pasukan ketika menewaskan Mesir pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Stadium Paul Biya awal pagi semalam.
Skuad Teranga Lions itu memastikan mereka menjulang trofi AFCON buat kali pertama apabila menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan.
Pada penentuan sepakan penalti itu, Mendy menyelamatkan sepakan Mohamed Abdelmonem sebelum penyerang Liverpool, Sadio Mane memastikan kejuaraan menjadi milik Senegal apabila menyempurnakan sepakan terakhir.
“Kami sangat gembira dengan kejayaan ini kerana semua orang tahu bukan mudah untuk memenangi AFCON tetapi kami berjaya lakukannya. Saya fikir kami berhak menang kerana sudah lama memburunya.
“Satu kejohanan yang sangat sukar, namun pemain-pemain Senegal tidak pernah mengaku kalah. Kami sangat beruntung kerana Senegal memiliki seorang penjaga gol terbaik dunia,” kata Koulibaly.
Sementara itu, Mendy mengakui bangga dengan kemenangan tersebut kerana mereka sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan dan ia menjadi kunci kepada kejayaan mereka dalam edisi kali ini.
“Kami sangat bangga kerana tidak pernah memenanginya sebelum ini. Semua pemain melaksanakan tugas dengan baik dalam penentuan sepakan penalti dan saya cuba menyelamatkan sepakan pemain lawan,” ujarnya. – AGENSI