fbpx

Figura animasi boleh tambah pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAKHRI (kiri) dan isteri turut berbangga apabila dua anaknya (depan) turut berkongsi minat dengan menjadikan hobi mengumpul figura animasi aksi sebagai aktiviti keluarga.

MENJADI pengumpul satu-satu jenis barangan bukanlah satu perkara mudah, apatah lagi ia menuntut minat mendalam terhadap apa yang ingin dikumpul, selain melibatkan perbelanjaan yang agak besar.

Perkara itu diakui sendiri oleh Muhammad Anis Fakhri Mohd. Nesfu, 38, yang merupakan pengumpul figura aksi daripada pelbagai siri animasi retro dan moden yang kerap ditayangkan di kaca televisyen.

Berasal dari Pulau Pinang, pemuda yang mesra disapa Fakhri ini sudah lebih 20 tahun mengumpul koleksi figura aksi siri animasi tersebut mengakui, minatnya terhadap hobi itu datang secara tidak sengaja apabila sering menerima hadiah daripada bapanya setiap kali mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah.

“Ketika di bangku sekolah rendah, ayah akan hadiahkan robot atau permainan berbentuk figura aksi seperti Spiderman, Batman, Ultraman, Star Wars dan Transformers sama ada ketika mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau sambutan ulang tahun kelahiran.

“Dari situlah, minat untuk mengumpul watak-watak siri animasi mula timbul dan saya mula meluaskan koleksi dengan membeli lebih banyak figura daripada pelbagai siri animasi.

“Sekitar tahun 2002 apabila bekerja secara sambilan ketika menuntut di Institut Kemahiran Mara di Sungai Petani, Kedah, saya mula serius menjadi pengumpul figura animasi dengan sebahagian daripada gaji diperuntukkan untuk membelinya,” ujarnya.

Kata Fakhri, setiap kali mendapat gaji, dia akan berkunjung ke beberapa kedai menjual figura animasi di beberapa lokasi di sekitar Pulau Pinang untuk membeli koleksi baharu sehingga pernah ditegur ibu bapanya kerana kerap menghabiskan wang untuk membeli permainan.

Namun, pandangan ibu bapanya bahawa dia kerap membazirkan wang akhirnya berubah apabila dia mula menyertai satu acara melibatkan pertunjukan koleksi figura animasi Transformers yang diadakan di Pulau Pinang pada 2007.

“Ketika itu, penganjur acara tersebut menjemput saya untuk menjadi salah seorang pempamer koleksi animasi Transformers kerana mempunyai banyak figura yang disimpan di rumah sebagai koleksi peribadi.

“Bermula dari situlah, ibu bapa saya mula memberi sokongan kerana berasakan hobi ini bukan satu pembaziran, tetapi boleh menjadi punca pendapatan, selain mampu memberi dorongan kepada orang lain untuk menjadi mengumpul koleksi secara serius,” katanya.

FAKHRI tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan patung figura animasi aksi yang diminatinya.

Populariti Fakhri tidak terhenti di situ, malah dia kerap menerima undangan untuk menyertai pelbagai pameran figura melibatkan siri animasi khususnya yang diadakan di pusat beli-belah di Pulau Pinang atau beberapa negeri lain.

Malah, dia juga turut dipelawa oleh penganjur Pesta Pulau Pinang untuk mengadakan pameran secara persendirian bagi mempamerkan semua koleksi peribadinya.

Jelas anak jati Batu Uban itu lagi, dia juga bertuah kerana isterinya, Farah Nur Huda Abdul Rahim turut memberi sokongan kepadanya, selain turut membenarkan sebuah bilik di kediaman mereka di Seberang Jaya, Pulau Pinang dijadikan tempat khusus untuk mengumpul semua koleksi peribadinya itu.

Malah, tiga cahaya matanya yang kini berusia tiga hingga 11 tahun juga menunjukkan minat sama apabila kerap mengikutinya ke tempat pameran, selain turut membantunya dengan melayani tetamu dan pelanggan yang bertanyakan tentang koleksi figura animasi miliknya itu.

“Dua anak perempuan yang berusia tujuh dan 11 tahun turut mempunyai pengetahuan tentang koleksi saya.

“Merekalah yang banyak membantu dengan bercerita kepada tetamu dan pengunjung sekiranya saya sibuk melayani tetamu lain ketika menyertai mana-mana acara atau pameran.

“Ada satu ketika semasa saya mengadakan pameran persendirian di Pasar Besar Mydin di Pulau Pinang, dua anak saya ini turut memakai kostum watak animasi dan membuat persembahan bagi menghiburkan pengunjung,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang.

Tambah Fakhri, sehingga kini dia mempunyai kira-kira 10,000 unit figura animasi yang dikumpul sejak dahulu dengan 3,000 daripadanya merupakan watak daripada filem dan animasi Transformers, manakala 3,000 lagi daripada siri Star Wars.

SEBAHAGIAN patung figura animasi adi wira pujaan kanak-kanak dalam simpanan Fakhri.

Figura daripada animasi lain yang turut menjadi koleksi peribadinya termasuklah dari siri Ninja Turtles, G.G. Joe, M.A.S.K, He-Man, Thundercat dan siri The Avengers.

Bercerita mengenai kos pula, katanya dia menganggarkan keseluruhan perbelanjaan yang telah dibuat bagi membeli kesemua koleksi animasi tersebut sudah melebihi RM200,000.

Jelas Fakhri, perbelanjaan yang dikeluarkannya itu dianggap berbaloi kerana sekiranya dinilai semula semua koleksi figura tersebut, dia menganggarkan ia bernilai kira-kira RM500,000 kerana ada antaranya merupakan edisi terhad, selain ada yang sudah tidak dikeluarkan lagi pada masa kini.

Dia yang kini bertugas sebagai Pengurus Kanan Kejuruteraan Fasiliti di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang turut merancang untuk menambah koleksi peribadinya sama ada membelinya di kedai-kedai ataupun menerusi online dari dalam dan luar negara.

“Jika ada rezeki, saya bercadang untuk membuka sebuah pusat pameran berkonsepkan pendidikan bagi mempamer kesemua koleksi peribadi saya ini kepada orang awam.

“Mereka bukan sahaja dapat melihat, tetapi juga dapat menyentuh figura animasi tersebut, dengan harapan dapat mengikuti jejak langkah saya menjadi pengumpul figura secara serius pada masa akan datang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI