KAMPAR – Biarpun pernah beberapa kali diserbu, dua buah premis di Taman Gopeng Jaya dan Desa Lawan Kuda di sini tidak serik-serik apabila masih meneruskan kegiatan judi online.
Semalam, kedua-dua premis itu sekali lagi diserbu menerusi Op Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, dalam operasi bermula pukul 2.45 petang itu, dua premis tersebut dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB.
Katanya, tindakan itu diambil setelah pemeriksaan mendapati premis yang berselindung di sebalik kedai runcit dan telefon itu pernah diserbu sebelum ini.
“Bagaimanapun, pemilik premis masih berdegil apabila terus menjalankan aktiviti haram itu.
“Tindakan ke atas premis berkenaan diambil mengikut undang-undang Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289/Pindaan 2001) dengan kuasa-kuasa yang diberikan dibawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Terbuka 1953 (Pindaan 2001),” katanya di sini hari ini. -K! ONLINE