SEPANG – Selepas dua hari menyertai sesi ujian pramusim di Malaysia, pelumba WithU Yamaha RNF, Andrea Dovizioso menyimpulkan dia perlukan masa untuk mendapatkan tunggangan terbaik bersama jentera Yamaha tersebut.
Pelumba Itali itu menegaskan, hanya satu cara untuk menjadi lebih pantas pada musim 2022 bersama Yamaha iaitu mengikuti cara tunggangan juara dunia 2021, Fabio Quartararo.
Pada hari terakhir sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin, Dovi yang menggunakan jentera terbaharu sekadar berada di kedudukan ke-22 terpantas dengan merekodkan satu minit 59.284 saat.
Manakala, Quartararo (Yamaha) yang turut menggunakan pakej jentera 2022 berada di tangga ketujuh terpantas dengan rekod 1’58.313s.
“Saya tidak gembira terutama kelajuan pada sesi ujian ini. Saya rasa, buat masa ini hanya satu cara untuk meraih keputusan terbaik iaitu ikut cara bagaimana Quarataro ‘jinakkan’ jentera Yamaha.
“Jika anda tidak ikut apa yang dilakukan seperti Quartararo, pasti anda berdepan kesukaran untuk mendapatkan catatan terbaik.
“Saya lihat jentera 2022 mempunyai potensi yang baik, jadi saya perlukan masa untuk melihat semua peluang untuk menjadi terbaik seperti Quartararo di Yamaha,” kata naib juara MotoGP tiga kali 2017 hingga 2019.
Dovi yang menghabiskan lima perlumbaan bersama Yamaha pada penghujung musim lalu, kini mempunyai tiga hari lagi ujian di Litar Mandalika untuk menyesuaikan diri dengan ‘teknik Quartararo’ sebelum memulakan saingan sebenar pada Mac nanti di Qatar. – AGENSI