fbpx

Calon SPM 2021 mula duduki ujian bahasa, amali sains

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 401,927 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mula menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu selama tiga hari bermula hari ini di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan (LP) di Kementerian Pendidikan, seramai 401,087 calon akan menduduki Ujian Bertutur Bahasa Inggeris juga selama tiga hari mulai 22 Februari.

Ujar agensi berkenaan, bagi sesi Ujian Mendengar bagi kedua-dua bahasa tersebut pula akan dilaksanakan secara serentak sehari sahaja iaitu sepanjang pada 21 Februari depan.

Begitu juga Ujian Amali Sains hanya akan dilakukan sehari pada 15 Februari ini yang melibatkan masing-masing 91,962 calon bagi subjek Fizik, 93,353 calon Kimia dan 72,669 calon Biologi.

“Ini diikuti pula dengan seramai 1,049 calon lagi untuk mata pelajaran Sains Tambahan yang akan menduduki Ujian Amali Sains itu juga sehari sahaja iaitu pada 17 Februari depan,” katanya semalam.

LP memaklumkan bahawa ujian untuk kedua-dua bahasa tersebut dan Ujian Amali Sains bakal membabitkan sebanyak 3,382 buah pusat peperiksaan yang disediakan oleh kementerian itu.

Ia menambah, seramai 50,514 orang petugas peperiksaan juga telah dilantik bagi memastikan kelancaran aspek pengurusan dan pengendalian kesemua ujian berkenaan pada SPM kali ini.

Agensi itu turut mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu ujian ditetapkan untuk mendapatkan maklumat tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan perlu dipatuhi.

Jadual jelas LP, boleh dimuat turun terus daripada portal rasminya iaitu http://lp.moe.gov.my selain garis panduan mengenai prosedur operasi standard (SOP) melalui https://www.moe.gov.my. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI