fbpx

Bumbung stadium mini Sungai Ara diterbangkan angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bumbung stadium mini di Sungai Ara, George Town diterbangkan angin kencang hari ini.

GEORGE TOWN – Orang awam dan penduduk di Flat Seri Delima, Sungai Ara di sini bertempiaran lari apabila bumbung sebuah stadium mini tercabut dalam kejadian angin kencang petang tadi.

Kira-kira 20 penduduk termasuk kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri sebaik bumbung stadium berkenaan tertanggal akibat dibadai angin kuat sebelum tersangkut pada pagar besi perumahan flat berkenaan kira-kira pukul 5.15 petang.

Semasa kejadian, semua penduduk tersebut dikatakan sedang berada di dalam sebuah kedai berhampiran dan di tangga stadium.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nor, 49, berkata, dia terkejut sebaik mendengar jeritan kuat orang ramai dari lokasi tersebut.

“Kejadian berlaku dalam tempoh singkat iaitu kurang tempoh 10 saat. Angin kuat terus membadai bumbung stadium mini itu hingga terbang ke tepi perumahan di sini.

“Mujur tiada berlaku sebarang kemalangan mahupun kecederaan orang awam yang ada di situ. Hanya tiga buah kereta dan motosikal sahaja yang terperangkap di bawah bumbung,” jelasnya ketika ditemui di sini.

Ketika ini kerja-kerja mengalihkan struktur bumbung akan dilakukan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang berada di tempat kejadian.

Keadaan di tempat kejadian dilaporkan terkawal ketika ini dan penduduk dinasihati supaya berada jauh dari lokasi berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI