PETALING JAYA – Sah diceraikan talak satu, pelakon Avaa Vanja tidak pernah menyimpan dendam terhadap bekas suami, sebaliknya berharap masing-masing meneruskan kehidupan dengan tenang.
Katanya, selepas lebih lima bulan melalui konflik hingga tidak tinggal sebumbung, perceraian menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.
“Saya lega kerana akhirnya kami dapat mencari jalan penyelesaian terhadap krisis rumahtangga kami hari ini menerusi persetujuan bersama dan dilakukan secara damai.
“Selepas hampir dua bulan turun naik mahkamah, hari ini saya sah diceraikan talak satu. Walaupun lega, jauh di sudut hati tentu saja saya sedih kerana kami pernah melalui kehidupan bersama 10 tahun.
“Siapa yang tak ingin bahagia ke hujung usia? Namun kita tak mampu menolak aturan Allah. Jodoh, ajal dan maut ketentuan-Nya. Ada pasangan lebih baik hanya menjadi sahabat berbanding memaksa diri meneruskan ikatan.
“Saya mahu ‘move on’, teruskan kehidupan membesarkan anak. Walau apa pun yang berlaku antara kami, saya ikhlas memaafkannya, begitu juga harapan saya padanya. Tiada dendam,” katanya kepada Kosmo! Online.
Semalam, Avaa, 42, yang menfailkan tuntutan fasakh dan hadhanah (hak penjagaan anak) pada Disember tahun lalu akhirnya bercerai talak satu dengan pemuzik, Aamil Sulaiman, 36, di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Buat masa ini hak penjagaan sementara satu-satunya cahaya mata mereka, Merlissa, 10, diberikan kepadanya.
Terdahulu, pada Oktober lalu pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah itumembuat laporan polis mendakwa dirinya dan anak berdepan penderaan domestik.
Enggan memanjangkan isu, katanya segala-galanya sudah berakhir malah dia hanya mahu memberi fokus terhadap masa depan, bukan menyingkap memori lampau.
Kongsi Avaa lagi, baik buruk bekas suaminya biar disimpan sendiri kerana dia enggan membuka aib insan yang pernah bertakhta dalam hatinya.
“Setiap orang ada kelemahan, mungkin saya juga ada kekurangan sepanjang sedekad kami hidup bersama biarpun saya sudah berusaha sehabis baik menunaikan tanggungjawab sebagai isterinya.
“Selama 10 tahun meninggalkan dunia lakonan sebaik bergelar isteri juga antara pengorbanan yang saya lakukan bagi memastikan saya mampu menguruskan keluarga kami dengan sempurna.
“Jadi apabila impian bahagia hingga ke akhir hayat ini terputus di tengah jalan disebabkan isu peribadi, saya hanya mampu untuk terus bangkit serta kuat demi anak.
“Saya doakan dia juga tidak simpan dalam hati, dapat melebarkan lagi kerjaya muziknya serta meneruskan kehidupan dengan lebih baik kerana dia pun masih muda,” katanya lagi.
Bersyukur Merrlisa menerima perceraian itu dengan berlapang dada, Avaa memaklumkan fasa berikut dalam perancangannya adalah fokus terhadap kerjaya.
Katanya, selain masih aktif mengendalikan bengkel lakonan, dia bakal duduk di kerusi penolong pengarah untuk sebuah program travelog yang akan menjalani penggambaran dalam tempoh terdekat. – K! ONLINE