fbpx

ATM tahan 12 PATI, jumpa dadah dalam beg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pati yang berjaya diberkas di pinggir Hutan Tenggaroh, Mersing dalam cubaan untuk menyeludup keluar dari negara ini pagi tadi.

KOTA TINGGI – Bukan sahaja berjaya mengagalkan cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari negara melalui jalan tidak sah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menjumpai barang terlarang disyaki milik migran yang berjaya melarikan diri.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataannya memaklumkan kesemua PATI warganegara Indonesia itu ditahan dalam Ops Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) awal pagi tadi.

Katanya, hasil maklumat diterima dari penduduk kampung tim ronda telah berjaya mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di Pinggir Hutan Tenggaroh pada pukul 5 pagi.

“Pada pukul 6.15 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 12 PATI.

“Selain itu di lokasi tangkapan, tim QRF telah menjumpai sebuah beg dipercayai ditinggalkan oleh PATI yang sempat melarikan diri mengandungi bahan terlarang iaitu sepotong ganja (kanabis) anggaran seberat 0.03 gram dan sepeket syabu (methamphetamine) anggaran seberat 0.01 gram.

“Kesemua 12 PATI itu kemudian diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, dua laporan polis iaitu melibatkan kes penyeludupan PATI dan penyalahgunaan dadah telah dibuat di Balai Polis Sungai Ambat dan Balai Polis Bayu Damai.

Katanya, kesemua PATI terdiri daripada lelaki itu yang berusia sekitar 18 hingga 45 tahun telah menajalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI negatif.

“Mereka telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia pada pukul 1 tengah hari manakala bahan terlarang dadah diserahkan kepada Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,077.08 melibatkan mata wang Malaysia RM 47.20, mata wang Indonesia IDR 2,000.00 (RM 29.88), sebuah telefon bimbit bernilai RM900, sepotong ganja (kanabis) anggaran seberat 0.03 gram bernilai RM50 dan sepaket syabu (methamphetamine) anggaran seberat 0.01 gram bernilai RM50.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,”katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI